my"Follower"

Thursday, 20 October 2011

Ujian Ilahi

"Siapa yang tak nak syurga?"

"Kalau tanya orang yang sedang mabuk minum arak pun mereka kata mereka mahukan syurga"

Jernih wajah lelaki itu saat mulutnya menutur lembut motivasi cinta. Saya mendengar bersama hati yang diperhalusi dengan rasa mahu menerima kerana kedatangan lelaki itu tidak lain hanyalah untuk menyebarkan cinta yang sudah mekar dalam sanubarinya.

Dan pertemuan kami malam itu sangat santai, tetapi tidak dilupai jawapan bagi soalan tadi, "Semua orang mahukan syurga!"









Dewan Peperiksaan.

Dewan segi empat itu ialah satu dimensi yang nyata. Deretan meja yang bersusun lurus menjadi tempat manusiawi menghamburkan segala yang terbuku dalam kotak minta... atas kertas berkajang.

Sedang diri menjawab soalan-soalan yang berpisat-pisat dalam dewan peperiksaan berhawa dingin itu, diri yang sedang tekun mengerah akal nan terbatas itu terlupa bahawa bumi tempatnya berpijak juga ialah sebuah dewan peperiksaan yang agung. Dimensinya ialah di luar sedar, tetapi keluasannya seluas mata memandang. Setiap yang bernama manusia sedang diuji dan dinilai, tetapi ramai yang tidak cakna dan ambil penduli.

Tiada peraturan yang khusus, cuma tertib yang diperhati sedekatnya.

Itulah ujian dunia. Penilaian dan pemilihan bagi calon syurga.



Ujian Yang Silih Berganti.

Bermulanya dengan tangisan pertama, hingga keluhan terakhir, setiap yang punya akal akan dinilai. Penilaian yang tertakluk pada kudrat dan iradat Allah ini, tidak siapa yang dapat katakan 'henti' kerana ia ialah ujian yang tidak kelihatan pada nilai zahir. Cuma nurani yang jernih sahaja mampu menilai.

Saudaraku.

Kita sering terlupa bahawa memang hidup ini ialah satu ujian. Saat kita gagal, ia ujian. Saat kita cemerlang, itu ujian. Saat kita menang, itu ujian dan saat kita gagal, itu juga ujian. Maka, setiap keluhan dan sorak gembira punya markah dan nilai yang signifikan.

Jika pernah kalian melihat bagaimana kalian memanjat tangga, maka kalian akan ketahuan bahawa ia sama seperti dunia yang sedang kalian hadapi ini. Di hujung tangga ialah syurga. Layaklah... kerana ia ialah tempat yang tinggi dan terpelihara. Kita bermula dari bawah. Satu per satu anak tangga kita daki.

Tangga pertama...

Tangga kedua....

Tangga ketiga...

Seterusnya.

Itulah letaknya ujian. Ujian yang bertingkat-tingkat. Tahapannya tidak sama, bahkan meningkat dan penuh variasi yang curiga serta sulit pula.

Jika ditakdirkan Allah kita selamat pada ujian yang pertama, bagaimanakah mungkin boleh untuk kita melebarkan senyum walhal yang menanti di sana ialah ujian kedua?



Keluhan.

Jika mahu mengeluh, itu bukan cara. Jika mahu menangis, itu juga bukan yang dididik. Yang utama, basahkan diri dengan sifat taqwa. Biarkan sifat itu bertakhta utuh. Biar! Biar sahaja dirimu bermandikan taqwa kerana sesudah itu, tiada kekesalan lagi!

Lihat dengan mata hati. Apa tujuan kamu diuji?

Allah menguji manusia kerana mahu kita melangkah ke atas. Jika tiada ujian, kita tidak akan sudi untuk ke atas. Jika tiada ujian, tidak ketahuan siapa yang manuju syurga dan siapa pula mencari neraka. Jika tidak didatangkan ujian juga, bagaimana mungkin hamba dapat bermanja dengan Tuhannya?

Dan jika tiada ujian juga... untuk apa kita hidup?

Kerana tujuan didatangkan kita ke dunia adalah untuk ibadah tanpa syirik yang bertali, maka wajarlah respon kita kepada ujian-Nya menjadi ibadah.

Saat perempuan cantik mendatangi, itu bererti ujian sedang bertandang.

Saat kesukaran menghimpit, itu tanda ujian.

Saat kejayaan datang bertimpa, itu juga sebutir berlian yang menguji.

Kepada siapa kamu meminta tolong, dan bagaimana caranya kamu mencari solusi?

"Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami mohon pertolongan"

Seharusnya, respon kita saat diuji ialah begini, kerana kita tahu bahawa ujian itu datang dari-Nya dan dari-Nya juga datanglah penawar dan solusi.

Kesimpulan.

Allah sedang menguji kita dan ujian itu sifatnya mutlak. Setiap saat kita dalam hidup ini ialah ujian. Maka, berusahalah untuk meletakkan syurga sebagai puncak, kerana hanya dengan itu barulah diri ini punya kekuatan untuk melonjak lebih ke hadapan.

Dan satu lagi anak tangga dipijak... memanjangkan hujung sebuah ujian Ilahi.





"SHARING IS CARING"

4 comments:

EeMy-g0od-go0d said...

uijian itu tnda syg dri ilahi buat kita :)

miera-in said...

hidop tanpa ujian..bagaikan tak bermakna..bertamnbah bosan kehidopan..:)
keep smile smakin byk ujian..smkin dkt kita dgn Allah.

KinosKoko said...

sedang diuji dan kadang2 rasa terlalu berat..tapi redha jela

mishnurlin said...

bersyukur dengan setiap ujian yang mendatang :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...